Thursday 2 May 2013


Bismillah...
Alhamdulillah, pagi ini bertekad untuk terus mengamalkan Teknik Rasulullah. Lambat sedikit Cik Lee sampai hari ini, kebiasannya beliau tiba paling awal selaku tukang buka pintu. Dinda Aidani masih dalam tempoh cuti sakit. Semoga dikembalikan kesihatan dan kekuatan tubuh badan kepada adindaku ini.
Berkobar-kobar berkongsi dengan Cik Lee, Seminar Kesedaran Jenayah Syariah Di Kalangan Remaja. Paling teruja bercerita pengalaman menghadiri Bengkel Eksklusif Teknik Mendorong Pelajar Corot.

Perkongsian terpaksa diberhentikan.... "Assalamualaikum cikgu.Cikgu, sibuk?" Wajah anakanda yang jauh dari kebiasaan...nampak gelisah, tersenyum dalam paksaan. Bangun dan terus menyantuni anakanda Farah.
Farah, seorang exco tertinggi pemimpin pelajar, calon SPM 2013. Bersalaman dan memeluk tubuh anakanda. Ada getaran rasa di dada, sebak tiba-tiba, air mata mengalir tanpa dipinta.

Menjalankan sesi, mendengar dan memberi maklumbalas. Betapa berat tekanan yang dihadapi seiring dengan tanggungjawab. Asakan dari dalam kelas, persekitaran, di rumah....dari guru mata pelajaran, guru pemimpin pelajar, rakan-rakan pemimpin pelajar, rakan-rakan sekelas, keluarga. Rasa tidak bernafas....jika dikedudukannya. Allahuakbar...

Anakanda ini ingin belajar, sudah banyak ketinggalan, bertimbun kerja tidak dihantar, semangat yang tinggi untuk memperbaiki kesilapan. Bertanyakan soalan, padahnya anakandaku ini disindir, dihina. Sungguh saya sedih, sebak. Apakah yang mampu saya lakukan untuk membantu emosi anakanda ini? Menjalankan sesi, meredakan emosi anakanda, mendorong ya mendorong anakandaku.      
 
 "Alhamdulillah, cikgu bangga Farah telah menjalankan tugas sebagai pemimpin pelajar, sebagai anak yang menurut perintah ibu bapa. Insha Allah setiap saat yang diperuntukkan dan setiap usaha yang Farah lakukan, para malaikat akan mencatat dengan cermat dan diberi ganjaran pahala oleh Allah. Jika Farah masuk awal ke kelas, fokus semasa guru mengajar dan hantar tugasan yang diberi, cikgu pasti Farah akan disukai oleh guru. Menyenangkan hati guru akan mempercepatkan kejayaan Farah, kerana doa guru antara doa yang diangkat oleh Allah tanpa hisab".
Betul ke cikgu? Ada senyuman manis dihadiahkannya. "Insha Allah"

Sesi dorongan diteruskan, keadaan lebih ceria. Soalan demi soalan menjurus kepada halatuju diajukan. Farah dalam keadaan emosi stabil, merangka perancangan jangka pendek, berkira-kira mengagihkan masa, bertekad menyudahkan kerja sekolah. Cikgu tambah satu lagi dorongan. "Tidak menyiapkan kerja sekolah tetapi tetap dihantar lebih baik dari tidak menghantar langsung. Menyiapkan kerja sekolah dengan lengkap walaupun ada kesalahan lebih baik dari tidak berusaha untuk menghantar." Allah memandang usaha, ada ganjaran untuk setiap usaha.

Sebelum menamatkan sesi, beberapa kali Farah mengucapkan terima kasih kerana meluangkan masa untuknya, terima kasih atas dorongan yang telah diberikan.
Alhamdulilah, doa cikgu sentiasa mengiringi Farah.

Benarlah kata-kata Tn Pengetua  "Jangan bunuh anakanda-anakanda saya. Satu perkataan dari cikgu boleh membunuh masa depannya. Tugas kita adalah membangunkannya"
Mohon mengundur diri.

No comments:

Post a Comment